Sering kali kita dengar, kita baca hari ini, suara-suara sumbang mengatakan bahawa Melayu itu
sebagai pendatang. Maka, sudah tiba masanya untuk mengeluarkan artikel yang kembali membincangkan benarkah Melayu ini
pendatang, dan siapakah penghuni asal di Tanah Melayu dan Nusantara ini?
Maka, inilah masanya kita menyelami artikel
kali ini. (Aktikel ini hanya untuk menceritakan asal usul bangsa Melayu untuk difahami oleh generasi pewaris Alif Ba Ta)
[Austronesia dan Rumpun Melayu]
Orang Melayu ialah salah satu daripada bangsa dalam keluarga rumpun
bangsa yang sangat luas yang dikenali sebagai Melayu-Polinesia ataupun
Austronesia [1]. Antara suku-suku bangsa dalam rumpun ini ialah Melayu,
Jawa, Bugis, Sunda, Maori, Hawaii, Fiji, dan sebagainya. Wilayah yang
dikatakan merupakan wilayah bangsa Melayu adalah sangat luas.
Berdasarkan buku kajian Walace, seorang pakar Antropologi dan Sejarah
dunia daripada Universiti Oxford (1863), bukunya yang bertajuk The
Malay Archipelago, beliau menakrifkan penduduk gugusan Kepulauan Melayu
sebagai rantau Asia Tenggara yang hampir-hampir berbentuk segi tiga,
bermula di Pulau Nikobar di Timur Laut ke Pulau Solomon di Tenggara, dan
dari Luzon di Utara ke Rotti dekat pulau Timor di Selatan. Kawasan yang
luas itu dibahaginya kepada beberapa kumpulan kumpulan: Kepulauan
Indo-Malaya, Kepulauan Timor, Kepulauan Maluku dan Kepulauan Papua. [2]
Sejak sekian lama, rumpun Austronesia ini turut dikenali sebagai
rumpun Melayu. Pada tahun 1879, untuk pengetahuan semua, parlimen
Haiwaii dengan bantuan Maharaja Abu Bakar, Sultan Johor pada ketika itu
telah mengusulkan satu usul yang bertajuk, “Penyatuan Dunia Melayu.”
King Kalākaua, seorang raja kerajaan Hawaii yang bebas pada ketika itu,
merupakan antara orang yang mencadangkan penyatuan tersebut. Mereka
saling memanggil “ADIK BERADIK MELAYU YANG HILANG.”
Katanya. Bangsa Melayu yang meliputi daripada Kepulauan Pasifik
sehinggalah ke Kepulauan Melayu di Asia Tenggara haruslah bersatu
membentuk Pan-Malay Unity, dan kesatuan itu diharap mampu mengelak
daripada penjajahan. Tambah mengagumkan, ketika itu Maharaja Abu Bakar
sempat menghadiahkan senaskah Al-Quran kepada King Kalakua dan isterinya
serta anak perempuannya, Queen Emma dan Princess Pauahi. [3]
Terdapat banyak teori-teori mengenai asal-usul Melayu, antaranya
ialah Melayu berasal daripada Yunnan dan Taiwan. Namun, teori terbaru
yang dikeluarkan oleh pakar arkeologi di Malaysia mengatakan bahawa
bangsa Melayu sebenarnya sudah berada di Nusantara sejak 74000 SM.
Antara pakar arkeologi yang mengeluarkan teori ini adalah Datuk Dr Wan
Hashim Wan Teh dan teori ini sekaligus mematahkans emau teori yang sudah
lapuk ditelan dek zaman. [4]
Teori yang seterusnya bercakap mengenai kedatangan bangsa Melayu
adalah dibangkitkan oleh Dr Oppenheimer yang mengatakan bahawa bangsa
Melayu memang berasal daripada Asia Tenggara. Beliau berhujah mengatakan
bahawa suatu masa dahulu, ketika zaman ais, Semenanjung Tanah Melayu,
Indonesia, Borneo, Filipina saling bergabung antara satu sama lain
sebelum akhirnya tenggelam akibat penghujung zaman ais dan benua yang
dua kali ganda lebih besar daripada benua India itu akhirnya dipisahkan
dek air laut.
Akibat daripada banjir besar tersebut, maka berterbaranlah
rumpun-rumpun Melayu ke serata tempat sehingga sejauh ke Hawaii. Mistos
banjir besar ini masih tersimpan dalam setiap bangsa dalam rumpun
Melayu-Polinesia itu sendiri, bahkan nenek moyang melayu, iaitu Proto
Melayu turut menyimpan kisah mereka tersendiri mengenai kisah banjir
besar yang memaksa mereka tersebar ke merata tempat.
(Kepada yang bakal bertanya orang ASLI ialah pribumi asal di sini,
maka kata saya Proto Melayu itu salah satu daripada suku-suku orang asli
di Malaysia, maka terima kasih kerana mengatakan bahawa kami ialah
penghuni asal di sini.)
Teori ini disokong oleh Human Genome Organisation mememui bukti
genetik yang selaras dengan teori yang dikemukakan oleh Oppenheimer.
Bukti itu menyarankan bahawa sebaran kependudukan di Asia berlaku
melalui kepulauan Asia Tenggara, tanpa penghijrahan dari tanah besar
Asia. Selain itu, Martin Richards, professor Archaeogenetics dari Leeds
University,yang dilaporkan di laman web Universiti Oxford juga telah
menemui bukti dalam kajian DNA yang meranapkan teori Melayu berasal
daripada Yunnan dan Taiwan.
Su B et. al. yang berjudul “Y-Chromosome evidence for a northward
migration of modern humans into Eastern Asia during the last Ice Age”
yang diterbitkan dalam American Journal of Human Genetics pada tahun
1999 turut mengatakan hal yang sama. Beliau mengatakan bahawa rekod
terawal mengenai pendudukan manusia adalah di Asia Tenggara. [5]
[Asal Usul Nama Bangsa Melayu]
Terdapat banyak rekod yang membincangkan mengenai di manakah
asal-usul nama MELAYU itu sendiri. Antara rekod terawal yang mencatatkan
mengenai nama MELAYU dalam sejarah itu sendiri adalah di dalam peta
Ptolemy seawal abad pertama Masihi yang mencatatkan kawasan di
Semenanjung Emas yang turut dikenali sebagai Maleu-kolon. [6]
Selain itu, antara rekod terawal mengenai asal-usul nama Melayu
ini ialah mengenai sebuah kerajaan Melayu yang wujud sejak abad keempat
Masihi di Sumatera yang dikenali sebagai Moloyu. Moloyu ialah sebuah
kerajaan bebas yang dipercayai wujud sejak abad keempat Masihi sebelum
ditawan oleh sebuah empayar Melayu bernama Srivijaya. [7]
Selepas itu, dalam catatan-catatan Dinasti China seperti Yuan dan
Ming, nama orang Melayu banyak kelihatan. Orang China biasanya akan
merujuk kepada bangsa Melayu. Antara sebutan dalam pelat Cina ialah
Bok-la-yu, Mok-la-yu, Ma-li-yu-er, Oo-lai-yu, dan Oo-lai-yu. [8]
[Kerajaan-Kerajaan Melayu Awal Yang Didirikan Oleh Bangsa Melayu]
Antara kerajaan terawal yang didirikan oleh bangsa Melayu ialah
TAMADUN LEMBAH BUJANG yang seawal 500 SM lagi. Penempatan di Lembah
Bujang ini juga dikatakan merupakan Tamadun Terawal di Asia Tenggara. 13
Tinggalan Senibina Pusat Pentadbiran di Kompleks Sungai Batu yang
ditemukan di bahagian barat pelabuhan kuno Sungai Batu dan empat
penemuan itu berusia lebih daripada 500 SM. [8]
Kemudian, antara kerajaan-kerajaan Melayu yang wujud selepas
Tamadun Lembah Bujang di Nusantara adalah seperti berikut, Langkasuka,
Srivijaya, Gangga Negara, Chih Tu, Pan-Pan, sehinggalah kewujudan Melaka
antara bukti bahawa Melayu adalah orang pertama di tanah ini
Langkasuka pernah masyur dalam catatan China, dan pernah disebut di
dalam catatan seperti Ibnu Batuta dan Marco Polo. Diceritakan dalam
pelbagai catatan China mengenai luasnya empayar ini, jauh dari China dan
kekayaan serta ekonomi yang diamalkan oleh Langkasuka. [9] [10]
Srivijaya pula merupakan Empayar Melayu Pertama yang didirikan
oleh bangsa Melayu di Nusantara. [11] Dikatakan asal usul empayar ini
adalah dimulakan oleh seorang raja Melayu yang membawa 20 000 orang
askar dari lokasi misteri yang bernama Minanga dan menawan Palembang.
[12] Srivijaya ketika di puncak kegemilangannya menaungi seluruh
Nusantara.
Ketika zaman kemasukan Islam, kerajaan-kerajaan Islam seperti
Kesultanan Melayu Melaka, Kesultanan Acheh, Kesultanan Pasai, Kesultanan
Brunei antara kerajaan-kerajaan Melayu yang mula naik dan menguasai
nusantara.
Namun, era ketika itu adalah terkemudian dan mula memasuki zaman
pertengahan dan lewat zaman pertengahan. Antara kesultanan Melayu yang
terawal yang wujud di Semenanjung ialah Kesultanan Kedah dan merupakan
antara kesultanan tertua di dunia. Namun, masih belum ada bukti
kewujudan kerajaan-kerajaan tamadun bangsa lain melainkan hanyalah
dibina oleh orang Melayu.
[Kesimpulan]
Berdasarkan bukti-bukti yang dibangkitkan di atas, maka tidak
hairan lagi bahawa bangsa Melayu adalah natives, pribumi, dan orang asal
di tanah mereka sendiri. Namun, ini juga bukan alasan untuk orang
Melayu memanggil kaum lain dengan pelbagai gelaran negatif.
Dan bukti yang dipaparkan dalam makalah ini harap dapat diterima
dengan hati terbuka, kalau ada sebarang kelompongan yang perlu
diperbaiki, moga dilontarkan teguran di ruangan komen.
![]() | |||||||||
| Peta gugusan Kepulauan Melayu atau nusantara. |
Rujukan : http://www.thepatriots.my/asal-usul-bangsa-melayu-ii/

No comments:
Post a Comment